Thursday, October 2, 2008

Fahami Dana Ekuiti

DANA ekuiti ialah jenis dana amanah yang menjurus kepada pelaburan dalam pasaran modal, khasnya ‘saham’ dan mengutamakan peluang kenaikan modal kepada pemegang unit. Pelaburan saham ini merujuk kepada pembelian pegangan dalam syarikat-syarikat perniagaan bagi mendapatkan sebahagian dari pendapatan dan aset syarikat-syarikat tersebut.

Pengurus-pengurus dana memegang portfolio pelaburan pelbagai jenis saham, membolehkan amalan peruntukan aset (‘diversification’) dilakukan, dimana risiko-risiko pelaburan boleh cuba dikurangkan dengan cara meluaskan tebaran risiko meliputi serangkaian luas pelaburan aset dan corak pelaburan.

Amalan ini bertujuan mengimbangi kesan kuasa dan ketidaktentuan pasaran ke paras risiko munasabah yang boleh diterima oleh pelabur. Harga-harga saham di pasaran boleh naik dan turun, begitu juga harga-harga unit dana.

Jadi pulangan kepada pelabur dana ekuiti adalah kenaikan modal iaitu apabila harga unit meningkat berbanding harga yang beli. Selain itu, apabila sesebuah syarikat mengumumkan meraih keuntungan, sebahagian dari pendapatan itu diagihkan kepada pemegang saham dalam bentuk dividen. Pengurus dana kemudiannya mengagihkan dividen itu kepada pelabur unit amanahnya mengikut formula dan jumlah unit yang dipegang.

Terdapat pelbagai jenis dana ekuiti, bergantung kepada objektif pelaburan dana itu sendiri. Maklumat tentang objektif pelaburan sesuatu dana boleh disemak dalam prospektus, atau dengan bertanya terus kepada syarikat pengurus dana anda, atau melalui agen jualannya. Objektif dana penting difahami kerana ia menerangkan matlamat sesuatu dana diwujudkan, tentang apa yang ingin dicapai dan dilakukan oleh pengurus dana ke atas wang pelaburan anda.

Ada dana yang mempunyai fokus pelaburan dalam sahamsaham mewah (‘blue-chip’) iaitu saham syarikat-syarikat yang besar, yang mempunyai rekod keuntungan dan dividen yang kukuh, ada yang berorientasikan saham-saham sektor khas, dan ada yang menumpukan kepada saham syarikat-syarikat kecil (small cap’) yang mempunyai potensi pertumbuhan. Perkataan ‘pertumbuhan’ atau ‘growth’ adalah satu perkataan popular dalam industri, kebiasaannya digunakan oleh dana-dana yang menjurus dalam pelaburan ekuiti.

Pertumbuhan di sini merujuk kepada hasrat dana untuk mewujudkan peluang kenaikan harga yang besar ke atas harga-harga unit. Namun adalah lumrah pelaburan bahawa hasrat pulangan yang tinggi adalah seiringan dengan tahap risiko tinggi yang perlu dihadapi. Portfolio saham-saham dalam dana pertumbuhan boleh naik dan turun, menyebabkan unit-unit amanah turut mengalami perubahan harga yang ketara dalam jangka panjang.

Instrumen Pelaburan Dana Ekuiti Islam
Pengurus dana ekuiti Islam melabur dalam pelbagai sekuriti patuh Syariah kebiasaannnya meliputi saham biasa, waran dan hak langganan boleh pindah (TSR). Waran dan TSR diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh Syariah dengan syarat, saham pendasar kedua-duanya merupakan sekuriti patuh Syariah. Manakala saham atau stok pinjaman (ICULS) dan bon hanya boleh dilabur apabila terbitannya berpandukan prinsip Syariah.

Share this

2 Responses to "Fahami Dana Ekuiti"

  1. Terima kasih di atas komen saudara.

    Saya tidak sangka penulis buku yang saya beli beberapa bulan lepas telah memberikan komen di blog saya.

    Saya telah pun mendapatkan buku saudara dan ia amat berguna sekali sebagai bahan rujukan saya.

    Terima kasih sekali lagi.

    ReplyDelete
  2. Tetapi buku ini tidak menjelaskan dengan terang mengenai pendapatan yang kita perolehi daripada sesuatu jenis saham..sptmana ekuiti anda tidak menjelaskan dengan lengkap..

    ReplyDelete