Mereka menambah yang pengukuhan dolar juga telah menyaksikan aliran keluar dana dari kedua-kedua pasaran baru muncul dan Asia serta aliran masuk dana ke Amerika Syarikat.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Jupiter Securities Sdn. Bhd., Pong Teng Siew berkata, aliran menurun pada masa ini di Bursa Malaysia boleh dilihat sebagai "peringkat akhir jualan habis-habisan di pasaran", dan menjangkakan momentum akan kembali pulih dalam tempoh tiga bulan ini.
Bagaimanapun, beliau berkata masih lagi terdapat gambaran yang kurang jelas mengenai kemungkinan kemelesetan sejagat untuk menentukan sama ada pasaran telahpun mencecah ke paras dasar sebelum memperlihatkan lantunan semula.
Pada Jumaat, harga-harga saham di Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur menjelang hujung minggu dengan Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) meningkat 2.96 mata kepada 1,044.03.
Untuk minggu baru berakhir, pasaran memulakan urus niaga pada nada yang positif selepas kegiatan pengambilan untung minggu sebelumnya.
Tetapi pasaran terus mempamerkan aliran menurun selepas itu apabila saham-saham berkaitan minyak sawit mentah yang merupakan antara kaunter permodalan tinggi, merudum berikutan kejatuhan harga-harga minyak mentah.
Menjelang hari Jumaat, pasaran bergerak kembali ke zon positif susulan daripada pengumuman kerajaan yang ia telah memansuhkan levi keuntungan luar biasa terhadap penjana tenaga bebas (IPP) dan menangguhkan rundingan semula dengan mereka mengenai perjanjian pembelian tenaga (PPA).
Berita itu memberi tenaga kepada saham berkaitan IPP dan telah membantu merangsangkan pasaran. Tetapi, keputusan kerajaan turut "mengecewakan" kaunter Tenaga Nasional dan kerugian besarnya mengekang keuntungan yang diraih hari itu.
Berdasarkan perbandingan Jumaat-Jumaat, IKKL merosot 26.51 mata daripada 1,070.54 Jumaat lepas.
0 Comment to "Bursa Akhiri Jualan Habis-habisan"
Post a Comment