Minggu-minggu dalam bulan July-August lalu menyaksikan henyakkan teruk ke atas pasaran saham tempatan - Bursa Malaysia, yang mengakibatkan penyusutan harga agak ketara. Berjuta-juta ringgit kerugian dicatatkan kali ini. Penyusutan harga lebih ketara ke atas saham-saham berharga rendah, begitu pun saham-saham mewah juga tidak terkecuali daripada henyakkan kali ini.
Kebanyakan pelabur ketika ini mengambil sikap berhati-hati, meminggirkan diri di tepian pasaran tatkala menantikan petunjuk yang baru yang lebih meyakinkan sebelum kembali ke pasaran.
Apa yang diperlihatkan kepada kita adalah bagaimana pasaran saham negara terus menghadapi tekanan jualan terutamanya daripada pelabur-pelabur institusi dan sindiket yang mencairkan posisi pelaburan mereka menyebabkan pasaran terus kelesuan.
Bukan setakat itu sahaja, para pelabur juga mencairkan posisi mereka dalam pelaburan amanah saham yang menyebabkan berlakunya tekanan jualan ke atas saham-saham mewah.
Pelbagai alasan diberikan bagi menjelaskan kemelut pasaran saham sekarang. Ada pihak menyatakan keengganan institusi kewangan dan firma broker saham memberi kemudahan kredit atau pengurangan jumlah pembiayaan pelaburan margin adalah penyebab wujudnya tekanan jualan di pasaran secara besar-besaran.
Sejauh mana kebenaran ini ia masih lagi diperdebatkan. Walaupun hal ini sudah dinafikan oleh pihak institusi kewangan, ia masih lagi tidak dapat memulihkan kemurungan pasaran saham walaupun wujud petanda yang positif akan keredaannya.
Jika pun ada kebenaran di atas tindakan institusi kewangan ini, kita mestilah sedia maklum tindakan tersebut. Sebagaimana perniagaan lain, institusi kewangan juga mengambil sikap berhati-hati dalam setiap urus niaganya.
Jika kedapatan petanda ke arah kemungkinan wujudnya pendedahan kepada risiko, mereka akan mengambil langkah-langkah keselamatan dengan menghentikan urus niaga tersebut atau mengurangkannya.
Kemudahan kredit bagi pembiayaan pelaburan margin adalah bersandar kepada cagaran saham-saham kepunyaan pelanggan.
Turun naik harga saham di pasaran mendedahkan institusi kewangan kepada risiko. Pendedahan kepada risiko adalah lebih tinggi dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.
Jika saham-saham tersebut bukanlah terdiri daripada saham yang boleh menguntungkan atau saham-saham teguh maka kebiasaannya institusi kewangan enggan menawarkan kemudahan kredit atau jumlah kredit yang dibenarkan adalah kecil.
Keadaan ini pastinya mengekang aktiviti para pelabur untuk aktif di pasaran. Kesannya, ramai pelabur yang terpaksa menjualkan saham-saham pegangan mereka bagi memantapkan kecairan mereka.
Spekulator
Analisis lain yang menyatakan kemelut pasaran ketika ini adalah gara-gara permainan pelabur sindiket dan spekulator pasaran saham di mana menyaksikan tekanan jualan terutamanya ke atas saham-saham barisan kedua dan ketiga yang menyebabkan harga saham-saham ini terjejas dengan begitu teruk.
Tindakan para pelabur ini juga dikatakan ada kaitannya dengan tindakan institusi kewangan mengurangkan atau menarik balik kemudahan kredit pembiayaan.
Persoalannya bagaimana mungkin kita dapat mengekangkan aktiviti sesetengah sindiket atau spekulator ini yang boleh mengucar-ngacirkan pasaran di atas tindakan mereka.
Walaupun begitu adakalanya para pelabur jenis ini jugalah yang menggerakkan pasaran saham ke arah peningkatan urus niaga pasaran saham.
Alasan lain yang dikaitkan dengan kejatuhan di pasaran saham adalah diakibatkan oleh timbul keraguan ke atas pencapaian atau prestasi syarikat-syarikat bagi saham-saham barisan kedua dan ketiga. Keraguan ini timbul apabila syarikat-syarikat ini membuat pengubahan di atas penyata kewangan yang berkaitan pencapaian atau keuntungan yang dijangkakan yang berlainan daripada apa yang diuar-uarkan semasa membuat terbitan awal awam.
Maka timbul isu ketelitian dan kredibiliti akauntan yang memperakukan penyata kewangan tersebut dan bagaimana perkara sebegini boleh dibiarkan berlaku. Keraguan ke atas saham-saham bagi syarikat-syarikat yang dikaitkan telah mewujudkan tekanan jualan yang mengakibatkan penyusutan harga saham-saham berkenaan.
Pelaporan penyata kewangan yang tidak tepat ini tidak seharusnya berlaku jika penyediaan dan penyemakan dilakukan dengan teliti dan berhemah.
Volatiliti pasaran saham negara ketika ini juga dipengaruh oleh faktor-faktor luaran. Kenaikan harga minyak terutamanya cukup memberi kesan ke atas syarikat-syarikat pengeluar di dunia.
Kenaikan harga minyak ini pastinya meningkatkan kos pengeluaran yang akan disalurkan ke atas pengguna dalam bentuk kenaikan harga barangan.
Pengguna akan mengambil sikap yang lebih berhati-hati dalam pembelanjaan mereka. Sikap ini secara tidak langsung akan mengurangkan permintaan dan pastinya mengurangkan pendapatan syarikat-syarikat pengeluar.
Oleh kerana pasaran pengguna yang terbesar adalah di Amerika Syarikat dan Eropah, tentu pengurangan permintaan di pasaran tersebut memberi kesan kepada pendapatan syarikat.
Pengumuman keuntungan yang lebih rendah oleh syarikat-syarikat yang disenaraikan di pasaran utama dunia seperti Wall Street pastinya mengundang tekanan jualan yang mengakibatkan penurunan kepada petunjuk indeks seperti Indeks Dow Jones.
Prestasi pasaran luar negara ini juga kebiasaannya memberi kesan ke atas prestasi pasaran saham tempatan. Banyak syarikat yang disenaraikan di luar negara mempunyai hubungan niaga dengan syarikat tempatan.
Pengurangan permintaan syarikat tersebut bererti pengurangan ke atas pengeluaran syarikat tempatan, yang seterusnya mengurangkan pendapatan syarikat. Jika syarikat-syarikat ini adalah syarikat yang disenaraikan di pasaran saham tempatan maka ia akan memberi kesan ke atas harga sahamnya di pasaran.
Pertumbuhan ekonomi suku tahun ini yang diumumkan sebanyak 5.7 peratus adalah memberangsangkan. Ia memberikan keyakinan bahawa kemelut pasaran saham ketika ini adalah bersifat sementara.
Walaupun begitu kita seharusnya dapat memanfaatkan kejatuhan harga-harga saham.Ia membuka peluang bagi kita untuk membuat pembelian kerana harga saham cukup rendah. Jika kita ingin mendapat pulangan yang baik bagi tempoh jangka masa panjang maka inilah masa yang baik bagi kita memasuki pasaran.
Banyak yang dijual pada harga yang rendah boleh mendatangkan keuntungan jangka panjang.
Kita mesti bijak dalam membuat pemilihan saham-saham yang hendak dibeli. Kejatuhan harga saham bukan bererti semua jenis saham elok dibeli. Penelitian dan kajian mestilah dilakukan dahulu.
Ternyata ramai para pelabur mengharapkan keadaan pasaran kembali sebagai mana di tahun-tahun sebelum krisis kewangan 1997-98.
Kita tidak hanya boleh mengharap atau menunggu sahaja. Pelabur masa kini haruslah lebih bijak dan melengkapi diri dengan pengetahuan mengenai pelaburan.
- Dr. Jauhari Dahalan ialah pensyarah di Fakulti Ekonomi Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.
0 Comment to "Fahami Sebab Ketidaktentuan Pasaran Saham"
Post a Comment