Tuesday, September 2, 2008

Unit Amanah Sumbang 70 peratus

INDUSTRI unit amanah domestik adalah yang terbesar di Asia Tenggara dengan menyumbang lebih 70 peratus kepada industri pengurusan pelaburan negara.

Industri ini terus berkembang sepanjang tempoh enam bulan pertama 2008 berikutan pelancaran dana baru yang membawa peningkatan bilangan unit dalam edaran.

Penambahan 35 dana baru menjadikan 530 dana diwujudkan pada akhir Jun 2008.

Pelabur melihat unit amanah sebagai instrumen pelaburan berdaya maju seperti yang digambarkan pertumbuhan bilangan akaun dan unit dalam edaran sebanyak 14.4 peratus dan 10.7 peratus.

Segmen unit amanah Islam terus cergas dengan pelancaran lapan dana baru menjadikan keseluruhan 136 dana manakala nilai aset bersih (NAV) meningkat 6.6 peratus kepada RM18 bilion pada akhir Jun 2008.

Bagaimanapun, NAV keseluruhan industri unit amanah menurun 5.6 peratus kepada RM159 bilion, mewakili 17.7 peratus daripada nilai permodalan pasaran Bursa Malaysia pada akhir Jun 2008, sejajar dengan penyusutan Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI).

Pengurus dana unit amanah terus mempelbagaikan portfolio pelaburan dalam pasaran asing berikutan langkah liberalisasi paras ambang pelaburan luar negara yang dinaikkan secara berperingkat kepada 50 peratus daripada NAV dana pemastautin mulai April 2007.

Enam bulan pertama 2008 menyaksikan 27 unit dana amanah baru dilancar bagi pelaburan pasaran asing manakala pada akhir Jun 2008, 11 dana melabur RM401 juta dalam aset asing, menjadikan 160 dana melabur RM13.3 bilion dalam pasaran asing.

Dana Manah Hartanah (REIT) dan Dana Dagangan Bursa (ETF) pula secara beransur mula mencapai momentum pertumbuhan walaupun jumlah REIT, termasuk dua REIT Islam yang disenarai di Bursa Malaysia kekal pada 13, saiz aset meningkat kepada RM7.7 bilion berbanding RM7 bilion pada 2007.

Suruhanjaya Sekuriti (SC) meluluskan REIT swasta pertama pada Februari 2008 manakala ETF Islam pertama di Asia disenarai di Bursa Malaysia Januari lalu, menambah jumlah ETF kepada tiga dalam tempoh enam bulan pertama 2008.

Nilai permodalan pasaran ETF pada akhir Jun 2008 meningkat kepada RM1.2 bilion berbanding RM531.8 juta akhir tahun lalu.

Industri REIT dijangka berkembang lagi berikutan pengumuman langkah terkini Ogos lalu bagi mempertingkatkan daya tarikan Bursa Malaysia sebagai destinasi penyenaraian REIT selain menggalakkan industri REIT yang cergas dan berdaya saing.

Langkah ini termasuk meningkatkan pegangan ekuiti asing dalam REIT kepada 70 peratus daripada 49 peratus, kelonggaran kepada pengurus REIT menguruskan portfolio mereka dan membenarkan pengurus REIT menerbitkan unit sehingga 20 peratus daripada saiz dana tanpa mendapatkan mandat pemegang unit.

(dipetik dari lawan web berita harian)
http://www.bharian.com.my/klikkhas/bajet/Artikel2009/LaporanEkonomi/20080829162452/Article/

Share this

2 Responses to "Unit Amanah Sumbang 70 peratus"